Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PEMBELAJARAN BERTEMA & STEM

Hari ini saya diamanahkan untuk mengantikan kelas bagi guru yang tidak hadir. Erm…dapat pula kelas ganti bersama murid Tahun 1 Olive. Alamak nak buat aktiviti apa agaknya ya? Cuba tengok bahan-bahan dalam kelas, ternampak la plastesin yang berwarna-warni di atas meja.

Jadi sekejap lagi saya akan jalankan PdPc bertema dalam konsep tambah dan melibatkan aktiviti STEM. Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah plastesin untuk membuat sfera, silinder, bekas dan lidi.

Murid dibahagikan kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan plastisin dan lidi untuk membentuk haiwan seperti burung dan kambing.

Murid membentuk haiwan burung dan kambing dengan mencantumkan kepala, badan dan bilangan kaki. Burung ada 2 kaki, kambing ada 4 kaki.

Ada juga haiwan yang dibentuk oleh murid tidak berjaya untuk berdiri dengan betul. Saya kaitkan dengan luas. Bukaan kaki perlu luas dan sama panjang untuk membolehkan haiwan berdiri dengan stabil.

Selepas itu saya menyoal murid. Berapa ekorkah kambing yang perlu dimasukkan ke dalam kandang jika jumlah bilangan kaki semuanya ada 8? Saya meminta murid menyusun kambing di atas penutup bekas (kadang). Murid membuat simulasi dengan meletakkan bilangan kambing sambil mengira bilangan kaki. Kumpulan yg berjaya mendapat kombinasi bilangan kambing yang betul akan diberikan point(markah). Ada 2 ekor kambing (8 kaki)

Seterusnya saya minta setiap kumpulan kosongkan haiwan di dalam kandang. Saya minta murid hanya memasukkan burung sahaja pula dengan jumlah kaki semuanya ialah 8. Murid melakukan simulasi memasukkan burung ke dalam kandang. Ada 4 ekor burung (8 kaki)

Seterusnya saya memberikan soalan…berapakah bilangan kambing dan burung di dalam kandang jika jumlah semua kaki ialah 10? Ada kumpulan dapat 2 ekor kambing seekor burung dan seekor kambing 3 ekor burung. Walaupun bilangan haiwan di dalam kandang tidak sama tetapi jumlah kaki semua haiwan adalah sama.

Ulang Aktiviti ini dengan contoh-contoh kombinasi haiwan dengan jumlah kaki yang lain pula. Kumpulan yang berjaya mendapatkan kombinasi jumlah haiwan yang betul dibenarkan bersorak 🤣. Kecoh la keadaan kelas…tidak mengapa, bagi peluang untuk murid-murid meraikan kejayaan kumpulan mereka selepas penat memerah otak.

Pendekatan bertema merangkumi koleksi bahan, aktiviti dan teknik yangdisusun sekitar konsep atau tema. Ia merupakan alat pengelolaan yang memberi peluang kepada guru untuk menghubungkan antara mata pelajaran. Ini akan menghindari program yang tidak tersusun berpunca dari pelajaran harian yang tidak berkaitan. Unit pengajaran bertema juga membolehkan murid menghubungkan di antara pemahaman, sikap dan kemahiran termasuk juga bidang-bidang kurikulum.

Dalam mengorganisasikan sesuatu pelajaran menggunakan Pendekatan Bertema murid diberi peluang untuk meneroka, mengalami dan mencari peluang mengekspresikan sesuatu tema yang diterima pakai.

1. Pemilihan dan Penentuan Tema

 Justeru itu, memilih tema merupakan langkah yang penting untuk memperkembangkan unit pembelajaran. Ini adalah kerana banyak masa dan usaha yang perlu diberikan untuk meningkatkannya. Terdapat banyak tema dan cara untuk mengkategorikan pendekatan itu. Di sini, disenaraikan panduan untuk memilih tema yang boleh meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran murid:

(a) Pemilihan tema yang perlu dilaksanakan dalam pengajaran danpembelajaran adalah seperti berikut:

(i)  berasaskan konsep

(ii) berasaskan kemahiran

(iii) berasaskan kandungan dan kemahiran

(iv) berfokus kepada isu

(v) berfokus kepada projek

(vi) berorientasikan kajian kes

(b) Pemilihan tema perlu mempertimbangkan aspek-aspek berikut:

(i) Boleh merentas semua mata pelajaran

Tema yang dipilih hendaklah yang boleh digunakan kepada semua mata pelajaran. Contohnya, Tema Pokok. Untuk itu semua mata pelajaran boleh menggunakan tema ini. Dalam mata pelajaran matematik, murid boleh menggunakan aktiviti mengira beberapa batang pokok. Manakala dalam mata pelajaran muzik, murid akan menyanyikan lagu pokok dan membuat pergerakan seperti pokok bergoyang, pokok tumbang dan sebagainya.

(ii) Bersesuaian dan berkaitan dengan dengan pengalaman dan kehidupan murid.

Pastikan tema yang dipilh ada kaitannya dengan pengalaman dengan kehidupan diri murid. Ini akan memudahkan guru untuk membuat interaksi dan aktiviti seni dalam pendidikan dapat dijalankan dengan berkesan.

(iii) Bersesuaian dengan situasi masa atau peristiwa

Tema yang dipilih ini perlulah bersesuaian dengan keadaan situasi, masa dan peristiwa yang berlaku pada masa kini. Secara tidak langsung dapat memudahkan murid membuat perkaitan antara perkara yang diajar dengan kedaan situasi yang sebenar.

(iv) Kemudahan untuk mendapatkan bahan dan sumber yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran

Beberapa justifikasi perlu ada dalam membuat pemilihan tema, terutamanya dari segi penyediaan kemudahan untuk memperolehi bahan dan sumber yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya guru dapat mengajar dengan menunjukkan contoh-contoh yang sebenar dan hands on, tidak kepada guru cuma bercerita sahaja tanpa memberi pengalaman langsung kepada murid.

(v) Guru berminat terhadap tema yang dipilih

Guru hendaklah berminat dengan tema yang dipilih dan ini akan dapat memotivasikan dan mempertingkatan lagi penglibatan murid terhadap aktiviti yang dijalankan.

(vi) Pemeringkatan tema dari yang mudah kepada yang lebih mencabar

Pastikan tema yang dipilih dapat disampaikan dalam pengajaran dan pembelajaran mempunyai aktiviti dan langkah-langkah pengajaran dari yang mudah kepada yang lebih mencabar.

2. Kelebihan pendekatan bertema kepada murid adalah seperti berikut;

(i) untuk mewujudkan suasana yang menyeronokan dan kondusif dalam proses pengajaran dan pembelajaran

(ii) untuk menyemai daya imaginasi melalui penerokaan,

(iii) dapat meluahkan perasaan melalui pelbagai aktiviti berlandaskan pengetahuan dan pengalaman lalu

(v) dapat menghadapi cabaran

(v) dapat membuat pilihan yang sesuai dan relevan dalam kehidupan

(vi) untuk memperbaiki kemahiran interpersonal dan intrapersonal

(vii) menyemai nilai empati, harmoni dan pemahaman sesama insan yang pelbagai budaya

(viii) untuk membangunkan pembelajaran menyeluruh yang menghubungkait pengetahuan dan kemahiran

3. Kekuatan pendekatan bertema kepada murid adalah seperti berikut;

(i) murid berpeluang untuk meluahkan perasaan berdasarkan pengalaman verbal dan bukan verbal sama ada berbentuk pergerakan, imej visual, prop, bunyi dan muzik berasaskan tema yang diberi

(ii) persembahan akan menjadi lebih menarik melalui pelbagai aktiviti dan kreativiti yang tinggi

(iii) murid lebih berkeyakinan dan pembelajaran lebih menyeronokkan

(iv) berpeluang untuk menyemai dan mengaitkan idea-idea dan imaginasi baru

(v) dapat menilai kefahaman konsep melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan

(vi) dapat menghubungkait pengetahuan dan kemahiran

4. Isu/Cabaran

(i) kecekapan guru di dalam pelbagai bidang mata pelajaran

(ii) untuk membentuk jaringan ahli dalam kumpulan

(iii) hasil pembelajaran berbagai dalam bidang mata pelajaran yang berbeza-beza

(iv) sukar untuk menilai skop pemahaman yang luas

(v) kesukaran untuk membuat penilaian kerana kebolehan yang berbeza

Picture of Cikgu saifulnizan

Cikgu saifulnizan

Let's code for our future

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

post terkini