Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

MEMORI INDAH DI SD BUDI MULIA 2

Pengalaman diberikan untuk sesi perkongsian PdPc di Sekolah Dasar Budi Mulia 2, Yogyakarta pada 15 November 2019 merupakan satu detik kemanisan saya sebagai seorang guru. Saya merupakan salah seorang peserta yang telah terpilih antara 10 orang guru matematik di Asia Tenggara untuk mengikuti Workshop on Southeast Asia Mathematics Teaching and Learning Model 2019, anjuran SEAMEO Centre for QITEP in Mathematics.

Semua peserta yang terpilih telah disaring terlebih dahulu melalui penghantaran Lesson Plan atau RPH dan video berdurasi 5 minit kepada pihak penganjur. Alhamdulillah, tidak sangka daripada 200 penyertaan, saya telah terpilih antara top 10 finalis.

Saya juga tidak menyangka antara top 10 finalis tersebut, saya telah dipilih untuk mengaplikasikan lesson Plan saya di Sekolah Dasar Budi Mulia 2. Tajuk yang saya pilih ialah Volume of Cube and Cuboid bersama murid-murid tahun 5. Pada permulaannya agak gementar kerana saya perlu menyusun kata-kata dalam bahasa inggeris, risau juga kalau murid-murid tidak faham dalam penyampaian saya.

Sebaik sahaja pengurusan kelas selesai diberikan kepada murid-murid, saya meminta murid menonton video animasi kartun berkenaan objek-objek 3 dimensi. Sebaik sahaja video tersebut selesai dipertontonkan, sesi soal jawab pun berlaku bagi menarik kesediaan murid-murid untuk belajar pada fasa seterusnya. Alhamdulillah murid memberikan respon yang baik.

Saya cuba mendekati murid-murid dengan lebih dekat lagi dengan melakukan aktiviti inkuiri penemuan. Setiap kumpulan diberikan beberapa bongkah plastik lutsinar yang berbeza saiz dan beberapa kubus kecil pelbagai warna yang sama saiz. Setelah murid melakukan aktiviti tersebut, saya tunjukkan powerpoint jadual inkuri di mana murid perlu membuat kesimpulan tentang aktiviti yang telah mereka jalani sebentar tadi.

Murid dapat membuat perkaitan dan hubungan antara panjang, lebar dan tinggi bagi kubus dan kuboid untuk menentukan isi padu kubus dan kuboid. Aktiviti yang seterusnya ialah saya telah meletakkan satu bongkah kuboid lutsinar yang telah diisikan dengan beberapa kubus-kubus kecil. Saya meminta setiap ahli kumpulan datang ke depan untuk membuat pemerhatian dan menentukan isi padu kuboid tersebut. Setiap murid diberikan masa selama 1 minit sahaja. Setelah semua murid selesai membuat pemerhatian, saya minta mereka berbincang di dalam kumpulan masing-masing dan menulis isi padu kuboid berkenaan pada papan tulis mini. Semua kumpulan memberikan jawapan yang sama.

Aktiviti seterusnya setiap kumpulan dibekalkan dengan tablet dan kad AR. Murid di dalam kumpulan belajar menggunakan teknologi Augmented Reality yang menunjukkan animasi bagaimana kubus-kubus kecil memenuhi ruang sesuatu objek (kuboid).

Fasa seterusnya saya minta murid di dalam kumpulan bermain satu aplikasi kuiz isi padu kubus dan kuboid menggunakan tablet yang telah diberikan. Kumpulan yang berjaya menjawab kesemua soalan dengan pantas dan betul akan dipilih sebagai pemenang.

Pada akhir sesi pembelajaran, saya meminta beberapa orang murid untuk membuat kesimpulan tentang apa yang telah mereka pelajari pada hari ini. Setelah selesai sesi PdPc, kami semua pun bergambar untuk dijadikan kenangan.

Ini merupakan satu pengalaman manis saya sebagai seorang guru matematik yang mewakili Malaysia, apabila sesi PdPc saya ini juga turut dilihat oleh pakar-pakar SEAMEO Centre for QITEP in Mathematics. guru-guru matematik top 10 finalis dari Asia Tenggara dan juga guru-guru dari SD Budi Mulia 2.

Picture of Cikgu saifulnizan

Cikgu saifulnizan

Let's code for our future

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

post terkini