Kelas ganti bersama murid tahun 1 lagi…semalam bersama murid kelas 1A dan hari ini bersama murid kelas 1F pula.
Garu kepala lagi nak buat aktiviti apa ya? Erm nampak ada sebungkus penyedut minuman (straw) dan plastisin di dalam rak almari bbm.
Nak cungkil kreativiti murid la…setiap murid diberikan beberapa batang penyedut minuman dan juga plastisin. Saya meminta setiap murid bina apa-apa sahaja yang mereka terfikir nak buat. Saya beritahu mereka boleh buat haiwan seperti kucing, kuda…boleh buat rumah…dan macam-macam lagi. Saya tak kisah awak nak buat apa-apa pun…nanti kamu cerita la kat cikgu dan kawan-kawan yang lain hasil kerja kamu tu…
Saya bagi mikrofon kepada murid yang nak cerita tentang hasil kerja mereka. Ada yang malu-malu . Saya umpan la, siapa yang nak bercerita cikgu bagi RM1. Hahaha ramai la yang tersipu-sipu datang ke depan nak cerita.
Bagus murid-murid ni…ada yang cerita tentang dia buat drone…bila bersoal jawab macam-macam jawapan yang mereka bagi. Ada yang buat raksasa, sotong, orang² yg jaga sawah padi , buat model covid, silinder, segi tiga dan kubus.
Imaginasi anak-anak kecil ni sememangnya diluar jangkaan. Dah la semua comel2
Pendidikan STEM adalah antara program yang diberikan penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Sehubungan itu, KPM semakin rancak memantapkan pendidikan STEM bagi menarik minat lebih ramai murid memasuki bidang STEM di peringkat sekolah.
Bagi mencapai status negara maju, pendidikan STEM perlu lebih menarik bagi meningkatkan minat murid menceburi bidang tersebut. Pendidikan STEM membantu perkembangan minda murid melalui aktiviti yang bermakna kerana murid secara aktif menghasilkan projek dan menyelesaikan masalah. Di samping itu, pendidikan STEM membina sikap saintifik dalam kalangan pelajar dan dapat melahirkan pelajar yang kritis dan kreatif.
Sehubungan dengan itu, guru perlu menguasai STEM yang juga merupakan satu pendekatan yang boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pendekatan STEM melibatkan pengaplikasian pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM untuk menyelesaikan masalah dalam konteks kehidupan harian, masyarakat dan alam sekitar.
Guru perlu menguasai ketiga-tiga elemen tersebut bagi memastikan pengajaran yang berkesan dapat dilaksanakan. Pengetahuan STEM merangkumi idea, konsep, prinsip, teori dan pemahaman dalam bidang STEM. Manakala kemahiran STEM memerlukan kecekapan dan kompetensi untuk meneroka, menyelesaikan masalah, mereka bentuk dan menghasilkan produk. Nilai dan etika pula ialah akhlak atau moral positif seperti sistematik, objektif, tekal, berfikiran secara rasional, tabah, beriltizam, menyahut cabaran, berani mencuba, berfikiran terbuka dan inovatif.