Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Hasil bimbingan guru ini, murid sekolah luar bandar dipilih bentang Projek Save the Earth di Itali

gcsaifulnizan.com - statue 33 percent
gcsaifulnizan.com - statue 33 percent

Rezeki tidak pernah salah alamat, itu yang dapat digambarkan buat sosok tubuh Guru Edufluencer bernama Saifulnizan Che Ismail. Guru subjek Matematik serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Kebangsaaan (SK) Raja Bahar, Kota Bharu, Kelantan itu tidak menyangka usahanya terlibat secara aktif dengan inovasi pada tahun 2017, membuahkan hasil apabila pencapaian demi pencapaian diraih oleh guru asal Kelantan itu.

Lebih mengagumkan, guru yang sudah berkhidmat selama 10 tahun itu turut terpilih untuk membawa pasukannya membentangkan kempen kesedaran menjaga dan melestarikan alam sekitar menerusi Projek Save the Earth di I Can Global Children’s Summit di Rom, Itali pada 26 hingga 30 November 2019 lalu

Pasukan DFC SK Raja Bahar selamat tiba di Rom, Itali disambut oleh wakil kedutaan Malaysia, Ahmad Zamri Rabaiee (kanan)

Sebanyak 12 pasukan yang dinamakan Design for Change (DFC) Malaysia telah terpilih untuk mempertaruhkan inovasi masing-masing di sana. Daripada 12 guru pengiring itu, Cikgu Saifulnizan, satu-satunya guru pengiring lelaki dari Malaysia.

Selain menghasilkan inovasi yang menjurus kepada masalah pembelajaran murid di dalam bilik darjah, Cikgu Saifulnizan turut memilih dan membimbing lima murid iaitu Nur Hatiqah Umairah Akazi, Nur Hafizza Husna Mat Hasimi, Nur Awatif Inani Abdullah, Farhanis Akhtar Ghazali dan Nur Aisyah Syakirah Saifulnizan untuk projek DFC di luar bilik darjah, sebagai tanda sokongan kepada sasaran pembangunan mapan.

“Projek yang dinamakan Save the Earth ini merupakan kempen kesedaran mengenai kepentingan menjaga dan melestarikan alam sekitar. Alhamdulillah projek tersebut telah berjaya dipilih antara 10 utama projek terbaik di Malaysia, menewaskan 94 pasukan lain dari seluruh negara,” katanya kepada GPS Bestari.

Apabila pasukan sekolah kami terpilih untuk membentangkan projek di I Can Global Children’s Summit di Rom, Itali pada 26 November lalu, kami sangat gembira ia membuktikan sekolah luar bandar juga mampu bersaing dengan sekolah yang hebat,” jelas beliau.

Terangnya lanjut, DFC, I Can Save the Earth bermula setelah menyertai bengkel DFC pada April 2019.

Ketika itu beliau telah telah menghantar lima murid menyertai bengkel tersebut. Menerusinya, murid-murid didedahkan dengan kerangka kerja FIDS, iaitu Feel, Imagine, Do dan Share untuk menjalankan projek mereka.

“Setelah berbincang dengan lima murid saya, kami bersetuju untuk mengatasi masalah pemanasan global ‘Sustainable Development Goals 13: Climate Action’ yang menjadi isu besar kepada seluruh dunia.

“Saya memberi peluang kepada mereka untuk merancang aktiviti bagi menjayakan projek ini. Antaranya, satu kelas satu pokok, taman herba, pertandingan mewarna, mural the peace wall, info pokok herba melalui Kod QR dan permainan 2D menggunakan perisian Scratch,” katanya.

Tambah beliau, projek tersebut bermula pada awal Mei lalu dan turut mendapat liputan media.

Di sebalik manisnya pencapaian, pasti ada cabaran dan halangannya.

Antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh beliau dan pasukannya adalah kekangan masa, idea dan kewangan.

Tambahnya, beliau juga perlu menyakinkan pihak sekolah mengenai keberhasilan dan kemenjadian murid melalui projek yang akan dilakukan.

“Bukanlah mudah untuk realisasikan impian ke Rom, lebih-lebih lagi masalah kewangan untuk menampung pembiayaan kami ke sana. Namun, ALLAH hadirkan insan-insan hebat untuk membantu kami.

“Pengarah Urusan Sri Utama International School, Datuk Fawziah Abdul Karim bersetuju untuk memberikan sumbangan dan membiayai tambang penerbangan pergi dan balik dari Kuala Lumpur, Doha ke Rom. Malah, pada saat-saat akhir juga kami mendapat tajaan pergi balik penerbangan Kota Bharu ke Kuala Lumpur dari Air Asia,” terangnya.

Berbicara lanjut mengenai I Can Global Children’s Summit, lebih 40 buah negara dan 2,000 adiwira dari seluruh dunia berkampung di Rom.

“Di sana pasukan DFC SK Raja Bahar telah bertemu dengan pasukan dari Chile, Israel, Itali dan Amerika Syarikat. Pada hari tersebut, sebanyak tiga pasukan telah membentangkan projek masing-masing, Malaysia (‘Save the Earth’), Israel (‘To See the Voice and Catch the Light’) dan Chile (‘Traffic Respect and Order’).

“Pasukan DFC SK Raja Bahar menjadi pasukan pertama yang membuat pembentangan. Pada awalnya memanglah agak gemuruh, namun saya gembira mereka berjaya menjawab dengan baik soalan yang diberikan,” katanya.

Katanya, ia bukan sekadar membuat pembentangan, tetapi juga sebagai peluang untuk mengeratkan perpaduan antara peserta dari setiap negara.

Menariknya, setiap negara perlu menyanyi lagu yang melambangkan setiap negara dan DFC SK Raja Bahar memilih untuk menyampaikan lagu ‘Rasa Sayang’ di sana.

Picture of Cikgu saifulnizan

Cikgu saifulnizan

Let's code for our future

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

post terkini