Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

GURU INSPIRASI MCDONALD 2019

gcsaifulnizan.com - Guru Inspirasi McDonalds 2019
gcsaifulnizan.com - Guru Inspirasi McDonalds 2019

Sejarah yang tidak mungkin akan pudar dalam memori ini apabila kenangan 2019 datang mengamit. McDonald’s Malaysia dengan Kerjasama Kementerian Pendidikan menghargai 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan di Arena Spice Pulau Pinang.

Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu telah menerima lebih 7,500 pencalonan daripada orang ramai antara 1 hingga 31 Mac 2019. Dari jumlah pencalonan yang diterima ini, 25 orang guru telah dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s yang telah menjalankan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki dalam mendidik pelajar-pelajar mereka. Alhamdulillah terpilih antara salah seorang daripada 25 orang guru ini merupakan kejayaan yang tidak pernah saya impikan.


Malaysia mempunyai ramai guru luar biasa yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan balasan atau ‘go the extra mile’ dan lebih ramai rakyat Malaysia kini merasakan pentingnya penghargaan kepada golongan pendidik seperti ini di negara kita. Ia jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat menghargai golongan bergelar guru.

Membaca kisah-kisah top 24 orang calon guru yang berjaya ini, sememangnya sangat memberi inspirasi kepada saya. Tersangat kerdilnya usaha yang telah saya jalankan berbanding dengan calon-calon yang lain. Anda boleh membaca kisah pencalonan 25 penerima anugerah ini di www.mcdonalds.com.my kerana kisah-kisah guru ini mampu menyuntik semangat kepada guru-guru lain, malah pada masa sama mampu membantu meningkatkan lagi sistem pendidikan negara.

Datuk Dr Amin bin Senin, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia yang merupakan tetamu kehormat pada majlis tersebut telah menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 kepada 25 pemenang. Setiap 25 pemenang ini menerima wang tunai berjumlah RM5,000 dan sebuah trofi.
Dalam ucapannya, Datuk Dr Amin mengatakan bahawa guru merupakan tulang belakang negara dan pengiktirafan sebegini perlu diberikan kepada mereka yang berada dalam profesion mulia ini.
“Guru-guru mendidik generasi muda negara dengan penuh dedikasi agar pada masa hadapan, negara kita mempunyai golongan pemimpin yang berkaliber dan dihormati. Apabila golongan pemimpin masa hadapan ini mengharumkan nama Malaysia, janganlah kita lupa jasa guru yang gigih mendidik mereka,” kata Datuk Amin.
Datuk Amin juga mengakui bahawa Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s merupakan satu inisiatif kerjasama awam-swasta yang strategik, seiring dengan matlamat Kementerian Pendidikan untuk membolehkan pelbagai pihak turut serta secara aktif dalam membangunkan sistem pendidikan yang kukuh dan menyeluruh.

“Sektor swasta memainkan peranan penting dalam membantu kami mencapai aspirasi pendidikan negara memandangkan ia merupakan salah satu bidang tumpuan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Sektor swasta berfungsi sebagai rakan kerjasama penting untuk menambah baik inisiatif-inisiatif pendidikan awam,” tambah Datuk Amin.
Saya mengharapkan usaha ini diteruskan ke tahun-tahun yang mendatang, kerana sememangnya terlalu ramai guru-guru di Malaysia yang layak diberikan pengiktirafan sebegini…oh ya di sini saya kongsikan kisah yang ditulis oleh murid saya.

DICALONKAN OLEH: NUR AWATIF INANI BINTI ABDULLAH


GURU bagaikan NTV7 kerana CERIA SELALU… Guru juga kadangkala seperti TV3 kerana MENJADI INSPIRASI HIDUPKU…Yang pasti Guru juga bagaikan TV9, DEKAT DI HATI… Dan yang paling penting, GURU pastinya bagaikan PACKAGE ASTRO kerana MACAM-MACAM ADA… Begitulah ungkapan yang boleh saya katakan kepada cikgu Saifulnizan yang merupakan seorang guru matematik yang tegas, tetapi dalam ketegasan beliau ada kelembutannya. Cikgu Saifulnizan telah berjaya menaikkan nama sekolah ke peringkat kebangsaan seperti Frog VLE, Hour of Code, Guru Inovatif Kebangsaan dan memenangi anugerah 1Bestarinet Teacher Award 2016, 2017 dan 2018. Pada tahun 2018 beliau telah dinobat GURU INSPIRASI 1Bestarinet Teacher Award kerana sumbangan beliau terhadap peneraju Pendidikan Abad Ke-21.

Cikgu Saifulnizan merupakan seorang guru cemerlang matematik dan tidak hairanlah saya sentiasa ternanti-nanti akan kelasnya. Beliau sering membuat perubahan dan menggunakan pelbagai sumber pengajaran bagi membantu pembelajaran saya di dalam kelas. Apabila berada di dalam kelas beliau, saya menjadi murid yang aktif ketika sesi pembelajaran kerana banyak aktiviti hands-on yang dapat saya jalankan secara kolaboratif bersama rakan-rakan saya di dalam kumpulan. Saya juga tertarik apabila beliau, menggunakan teknologi Augmented Reality dengan menggunakan telefon pintar dalam pembelajaran matematik di dalam kelas.

Saya begitu teruja sekali menggunakan aplikasi yang dibina oleh cikgu Saifulnizan kerana ianya dapat mengukuhkan konsep matematik yang saya telah pelajari. Beliau bukan sahaja pakar dalam subjek matematik tetapi juga berkemahiran dalam mengaplikasikan teknologi dalam pendidikan. Pada tahun 2018 beliau telah berkongsi ilmunya di dalam Majalah Pendidik berkenaan ilmu teknologi pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh warga pendidik dalam pengajaran dan pembelajaran. Cikgu Saifulnizan juga telah membimbing saya untuk mempelajari ilmu coding menggunakan scratch.

Pada mulanya, saya berasa sangat asing dengan perkataan coding, ini kerana saya tidak pernah mendapat pendedahan tentangnya. Setelah menghadiri kelas coding yang diajar oleh cikgu Saifulnizan, akhirnya saya dapat membina sistem yang dapat mengesan suhu di sekeliling dan juga dapat menyalakan lampu LED mengikut kecerahan cahaya di dalam bilik. Dengan didikan dan bimbingan beliau, saya telah berjaya mendapat sijil tahap 4 dalam Peperiksaan Sistem Terbenam Malaysia pada 2018. Oleh itu, saya merasakan cikgu Saifulnizan selayaknya mendapat gelaran GURU INSPIRASI dihati saya.

Picture of Cikgu saifulnizan

Cikgu saifulnizan

Let's code for our future

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

post terkini