Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

CIKGU SAIFULNIZAN – IKON GURU

gcsaifulnizan.com - ikon guru inspirasi
gcsaifulnizan.com - ikon guru inspirasi


Andai kita melalui beberapa laluan dan ruang di Sekolah Kebangsaan Raja Bahar, sudah tentu kita akan teruja dan terpesona dengan kecanggihan dekorasi berteraskan teknologi yang diterapkan di setiap lokasi. Di antaranya ruang aktiviti robotik Hub Digital Maker, Makmal Komputer, Frog Classroom, Taman Herba dan Projek Bumi Hijau. Kesemua mercu tanda itu menampilkan kraetiviti dan kehebatan anak-anak didik SK Raja Bahar mengaplikasi kemahiran teknologi digital dalam pembelajaran.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, demikianlah jika kita tidak kuat berusaha tidak mungkin akan dapat hasilnya. Kejayaan sesebuah sekolah dan warganya banyak bergantung kepada usaha guru-gurunya. Di sinilah kita menemui seorang ikon guru yang cukup sederhana perwatakannya, namun memiliki usaha yang cukup perkasa. Personaliti yang dimaksudkan ialah Cikgu Saifulnizan bin Che Ismail Guru Cemerlang Matematik Sekolah Kebangsaan Raja Bahar, Kota Bharu, Kelantan.

Memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Tongkang, Tawau, Sabah pada tahun 2009, menjadi asas kejayaan beliau dalam bidang pendidikan. Teringat kata-kata seorang rakan guru pelatih, “Engkau ni, kalau dicampakkan ke pulau, pasti hidup pulau tu” Tidak terduga usikan rakan guru pelatih itu menjadi kenyataan apabila cikgu Saifulnizan ditempatkan di Pulau Sebatik. Biarpun cita-cita asalnya mahu menjadi polis trafik, namun bintangnya bersinar di arena perguruan.Cikgu Saifulnizan bin Che Ismail, 37 kini merupakan antara guru yang memiliki rentetan kecemerlangan dalam pelbagai genre.
Selepas menamatkan Kursus Perguruan Dalam Perkhidmatan (KPLI) dalam bidang Matematik pada tahun 2008, beliau mula bergelar seorang guru Matematik dan Bahasa Inggeris. Beliau kreatif mengadun pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat murid-muridnya. Pernah terlibat dalam bidang seni sebagai jurulatih tarian dan nasyid sekolah tersebut, membuatkan Cikgu Saifulnizan amat dekat dan rapat dengan anak muridnya.


Sikap ini nyata membantunya menyelami masalah pembelajaran mereka dan memudahkan urusan pengajaran. Walaupun berdepan dengan latar budaya sosial yang jauh berbeza dengan tempat asalnya, namun Cikgu Saifulnizan tidak pernah menjadikannya sebagai alasan. Beliau seorang yang sangat bermotivasi dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmunya.


Memang jika boleh setiap guru mahu kembali mengajar di tanah kelahirannya sendiri. Akhirnya hasrat tersebut tertunai, apabila beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Raja Bahar, Kota Bharu, Kelantan bermula 1 Oktober 2010 hingga sekarang. Ini memberi ruang dan peluang yang lebih luas kepadanya untuk meningkatkan kemahiran dan kecemerlangannya.


Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Sains (computer) dari UTM, Skudai, Johor meneruskan pengajian di universiti yang sama pada peringkat Sarjana Pendidikan (Matematik) pada tahun 2005-2007. Dengan latar belakang tersebut, beliau menggunakan kepakarannya Informatian Technology (IT) itu memberi nafas baharu dan inovasi terkini dalam pengajaran Matematik.


“Saya bermula dengan mengwujudkan Tanah Herba dan Sudut Pidato sebagai daya penarik mendekati anak-anak murid. Apabila hubungan baik dengan murid-murid telah terjalin, mudah untuk kita meneruskan perancangan,” ujarnya ketika diminta memberi info penglibatan awalnya. Anak-anak muridnya juga memberi komitmen yang baik dalam menyelesaikan kerja-kerja yang diarahkan.
“Dalam melestarikan projek bumi hijau sekolah, kami telah mengaplikasikan konsep FIDS (Feel, Imagine, Do & Share). Hasilnya cukup mengagumkan. Begitu juga dalam setiap aktiviti saya akan mengabungkan kemahiran IT dalam pengajaran-pembelajaran subjek di bilik darjah,” jelas Cikgu Saifulnizan yang mendapat pendidikan awal di negeri Pahang itu.

Pada tahun 2016, beliau menjadi pendokong utama Frog Classroom yang baharu diperkenalkan oleh YTL Foundation dan KPM. Beliau menjadi penukil pertama yang mengwujudkan kelas tersebut di negeri Kelantan. Beliau juga merupakan guru perintis yang merealisasikan Hub Digital Maker bagi sekolah rendah di negeri Kelantan. Baginya tidak mustahil untuk merealisasikan sesuatu jika kita ada kesungguhan dan kemahuan.

Cikgu Saifulnizan bukan sahaja banyak melakukan inovasi dalam bidang Matematik, bahkan diaplikasikan juga dalam membentuk jaringan komunikasi dan teknologi digital dalam bidang-bidang lain. Cikgu Saifulnizan melakukan ubahsuai dalam pengurusan Makmal Komputer, menjadikannya lebih mesra murid dan santai. Pernah dinobatkan sebagai Guru Ikon VLE negeri Kelantan pada tahun 2016 dan 2017 di atas sumbangan beliau terhadap perkongsian amalan terbbaik Frog VLE di negeri Kelantan.

Sebenarnya kegigihan Cikgu Saifulnizan ini telah bermula lebih awal ketika menuntut di IPT lagi. Beliau memang aktif menyertai pelbagai aktiviti di Universiti seperti menyertai program Ekspedisi Gunung Kinabalu, Program Bakti Siswa di Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah. Untuk sumbangan tersebut beliau dianugerahkan dengan Tokoh Alumni UTM 2007 semasa Majlis Pra Graduan UTM dan juga telah dinobatkan sebagai Graduan Terbaik Akademik KPLI 2008.

Atas daya usaha dan kreativitinya dalam bidang pendidikan pula telah menghasilkan pulangan yang berbaloi apabila beliau dikalungkan dengan beberapa anugerah pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa sebagai perintis inovasi. Di antara penghargaan yang diterima ketika itu ialah pemenang Anugerah 1Bestarinet Teacher Award peringkat kebangsaan selama 3 tahun berturut-turut, Guru Advokasi Emas Frogasia, Anugerah Diamond dan Platinum inovasi peringkat kebangsaan, Johan Mathematics Teaching and Learning Model anjuran SEAMEO SEAQIM di Yogyakarta dan lain-lain lagi.

Guru muda yang telah beristeri dan memiliki empat orang cahaya mata ini tidak pernah puas hati dengan pencapaiannya dalm bidang yang diceburinya. Beliau sering mengikuti kursus dan membentangkan hasil kerjanya di pelbagai peringkat. Sebagai seorang guru, ilmu didada perlu ditambah supaya ianya selari dengan revolusi perindustrian 4.0.


“Berkhidmat dengan penuh dedikasi dan melakukan sesuatu perkara dengan terbaik untuk menghasilkan sesuatu yang terbilang dan gemilang.” Demikian kata-kata semangatnya yang telah menjadikan beliau amat komited dalam kerjanya. Anugerah dan penghargaan bukanlah tujuan utamanya.
Kepelbagain teknik dan kaedah pengajarannya yang segar itu dapat membantu anak-anak didiknya mencapai kejayaan lebih cemerlang terutama dalam subjek Matematik. Murid-murid juga diberi pendedahan penggunaan media baharu dalam pengajaran.

“Pembelajaran secara maya seperti Frog VLE di samping kemahiran pengaturcaraan robotik dapat meningkatkan pencapaian dan minat anak-anak murid saya. Mereka lebih aktif dan rasa tidak sabar untuk mengetahui perkara baharu yang akan saya ajar,” sambung Cikgu Saifulnizan lagi.

Sebagai Guru Cemerlang Matematik, Cikgu Saiful sering diundang untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran bersama rakan guru lain. Beliau tidak pernah lokek dengan ilmu dan menganggap perkongsian itu akan lebih memantapkan kemahirannya.
Kerana kecemerlangannya itu beliau telah diminta untuk menyumbangkan hasil penulisan artikel digital classroom dalam Majalah Pendidik sebanyak 5 siri. Di samping itu, beliau juga sering membentangkan kertas kerja pada konvensyen pada peringkat kebangsaan seperti Persidangan Kebangsaan Amalan Terbaik Pembelajaran dan Pemudahcaraan & Pertandingan Inovasi.

Kejayaan paling besar diperolehinya ialah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald dan Guru Adiwira PPD Kota Bharu 2019 baharu lalu. Baginya anugerah bukanlah tujuan utamanya dalam profesyen pendidikan, tetapi kejayaan anak didik yang lebih diutamakan. Usaha berterusan itulah menyebabkan sekolahnya telah diangkat sebagai Sekolah Cemerlang ICT PPD KB Anugerah Citra Bitara.

Selain itu beliau juga dianugerahkan sebagai Johan Guru Inovatif Kategori Individu Sekolah Rendah Peringkat Negeri selama 3 tahun berturut (2017-2019) dan Top 50 Pertandingan Guru PAK21 Peringkat Kebangsaan 2019 serta memenangi pingat emas dalam Persidangan Kebangsaan Amalan Terbaik Pembelajaran dan Pemudahcaraan & Pertandingan Inovasi 2019. Beliau juga menaikan nama sekolah apabila muncul dengan Pingat Emas dalam Pertandingan International Summit of Innovation & Design Exposition 2019.

Beliau dan murid-muridnya juga telah Berjaya mengharumkan nama sekolah apabila dinobatkan sebagai Johan Sekolah Rendah Hour of Code dan juga Johan Kategori Media Terbaik Kempen Hour of Code Peringkat Kebangsaan tahun 2019. Menurut beliau, pengenalan coding kepada kanak-kanak pada peringkat awal dapat membantu murid-murid dalam menyelesaikan masalah dengan menggunakan pemikiran komputasional.

“Alhamdulillah tahun 2019 saya dan sekolah dapat meningkatkan lagi pencapaian kami. Saya rasa inilah antara puncak kejayaan warga SK Raja Bahar. InsyaAllah saya akan cuba tingkatkan lagi pencapaian tersebut,” komennya yang kelihatan amat teruja dengan kejayaan yang dicapai setakat ini.

Beliau kini merupakan pakar rujuk dan sifu kepada sekelompok guru muda di negeri Kelantan terutama dalam bidang ICT dan inovasi pembelajaran Matematik. Beliau bersama pasukannya telah menjadi penggerak kepada sistem pembelajaran baharu Pendidikan Abad Ke 21. Beliau juga banyak menyumbang kepakaran beliau sebagai Guru Cemerlang Matematik, sebagai penulis modul, pemeriksa kertas dan pembina item.

Dalam Pelan Pembinaan Model Guru Futuristik Malaysia (GFM) yang sedang dalam proses pembentukan, beliau juga turut terlibat sama memberi idea dan sumbangan. Beliau bersama sekelompok guru terpilih dan pensyarah IPGM baharu sahaja usai menjadi ahli panel diskusi awal bagi peringkat wilayah Pantai Timur. Semoga usaha dan jejak langkah murni yang beliau lakar bakal menjadi contoh dan teladan guru-guru muda dalam mencipta inovasi dan kebitaraan pendidikan.

Untuk Cikgu Saifulnizan, terima kasih atas segala sumbangan selama ini. Semoga cikgu Saifulnizan terus cemerlang menobatkan gagasan pendidikan dan sekali menjadi guru, selamanya dipanggil cikgu.



 

Picture of Cikgu saifulnizan

Cikgu saifulnizan

Let's code for our future

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

post terkini